Persepsi Atlet Terhadap Gaya Tingkah Laku Kepimpinan Jurulatih Bola Sepak Sekolah Yang Digemari Dengan Gaya Tingkah Laku Kepimpinan Sebenar Jurulatih Bola Sepak Di Daerah Alor Gajah, Melaka
Persepsi Atlet Terhadap Gaya Tingkah Laku Kepimpinan Jurulatih Bola Sepak Sekolah Yang Digemari Dengan Gaya Tingkah Laku Kepimpinan Sebenar Jurulatih Bola Sepak Di Daerah Alor Gajah, Melaka
To cite this article: Govindan, J. K., Soh, K. G., Yusof, A., & Fauzee, M. S. O. (2019). Persepsi
atlet terhadap gaya tingkah laku kepimpinan jurulatih bola sepak sekolah yang digemari
dengan gaya tingkah laku kepimpinan sebenar jurulatih bola sepak di daerah Alor Gajah,
Melaka.
Malaysian Journal of Movement, Health & Exercise, 8(1), 123-133.
https://doi.org/10.15282/mohe.v8i1.276
Link to this article: https://doi.org/10.15282/mohe.v8i1.276
Abstract
The main purpose of this study was to identify the most preferred and the
actual leadership behaviour of the school football team coaches’ by the
athletes. One hundred and ninety school team under 18 players who were
playing for the Inter- Zone Alor Gajah District , took part in this study.
Leadership Scale for Sports (LSS) questionnaire developed by Chelladurai
& Saleh (1980) was used. There are 40 questionnaires which have been
translated from English Language to Bahasa Malaysia was used. The Data
was analysed using descriptive statistics to identify the percentage, mean,
standard deviation, t-test and ANOVA. The results of this study suggests
that the most preferred leadership behaviours by the athletes is training and
instruction (min=3.29) and followed by the democratic (min=3.20).
Whereas the autocratic behaviour (min 2.97) were found to be least
preferred. The actual leadership behaviours of the coaches show that the
dominant behaviours are training and instruction (min 4.49) followed by
democratic behaviour (min=4.40), social support(min=4.35) and autocratic
behaviour. The least dominant behaviour is autocratic behaviour
(min=4.20). There were no significant differences between preferred and
actual leadership behaviour in all the dimension except the autocratic
bahaviour t(187)=3.18, p=0.002.
1
Keywords: Most preferred behavior, actual leadership behavior, leased
preferred, comparing leadership behavior
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan
yang signifikan dari segi persepsi atlet terhadap gaya tingkah laku jurulatih
bola sepak sekolah yang digemari dengan gaya tingkah laku sebenar
jurulatih bola sepak di Daerah Alor Gajah. Kajian ini melibatkan semua
pemain, iaitu seramai 190 pemain bola sepak pasukan sekolah yang
berumur di bawah umur 18 tahun yang telah menyertai Pertandingan Bola
Sepak antara Zon Peringkat Daerah Alor Gajah. Instrumen Leadership
Scale for Sports (LSS) yang dibangunkan oleh Chelladurai & Saleh (1980)
telah digunakan untuk mengumpul data. Soal selidik ini terdiri daripada 40
item yang telah diedarkan kepada pemain bola sepak. Hasil kajian
menunjukkan bahawa gaya tingkah laku kepimpinan yang paling digemari
oleh atlet ialah gaya tingkah laku latihan dan arahan (min=3.29) dan gaya
tingkah laku demokratik (min=3.20), manakala, dimensi tingkah laku
autokratik adalah gaya tingkah laku yang paling tidak digemari (min=2.97).
Gaya tingkah laku kepimpinan sebenar jurulatih ialah tingkah laku latihan
dan arahan (min=4.49), diikuti dengan tingkah laku demokratik (4.40),
maklum balas positif (min=4.40), sokongan sosial (min=4.35), dan tingkah
laku autokratik (min=4.20). Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam
semua dimensi tingkah laku jurulatih yang digemari dan sebenar kecuali
tingkah laku autokratik. Nilai-t yang diperolehi adalah t (187) =3.18,
p=0.002.
Kata kunci: Persepsi, gaya tingkah laku, jurulatih, bola sepak, remaja
Pendahuluan
Jurulatih sukan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sesuatu sukan.
Mereka berperanan melatih atlet dan pasukan yang akan menyertai sesuatu pertandingan.
Menurut Wildman (2006), kepimpinan yang berkesan adalah satu elemen yang penting
dan perlu ditunjukkan demi meningkatkan prestasi sesebuah pasukan. Secara tidak
langsung, ini menunjukkan bahawa peningkatan prestasi sesebuah pasukan serta
kemenangan pasukan tersebut dalam sesebuah kejohanan atau pertandingan bukan hanya
terletak kepada kualiti dan kehebatan atlet semata-mata, tetapi kerjasama sekumpulan
individu yang bekerja secara berpasukan. Mereka juga perlu memastikan atlet dan
pasukannya dapat menunjukkan prestasi yang terbaik dan seterusnya mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam sesuatu pertandingan (Martens, 1987; Bompa, 1993).
Pengetahuan mengenai gaya kepimpinan jurulatih dalam sukan seperti perancangan,
teknik latihan dan pengaturan strategi permainan adalah perlu bagi memastikan
penglibatan atlet yang berterusan dalam sesuatu aktiviti sukan (Dzulhimi & Mohd
Sofian, 2002).
Persepsi atlet terhadap gaya tingkah laku kepimpinan jurulatih bola sepak sekolah
Tanggungjawab seseorang jurulatih adalah untuk membantu atlet mencapai prestasi yang
terbaik dalam pertandingan. Oleh yang demikian, tugas seorang jurulatih adalah meliputi
tugas melatih kemahiran asas, perancangan serta perlaksanaan program latihan jangka
panjang dan jangka pendek, persiapan sebelum pertandingan, memberi nasihat teknikal
dan taktikal sepanjang pertandingan bagi meningkatkan prestasi mereka. Jurulatih yang
baik bukan hanya setakat melatih, tetapi sebaliknya juga menjadi tempat mengadu sama
ada suka atau duka. Jurulatih yang mendapat kepercayaan atlet dan memiliki gaya
tingkah laku kejurulatihan yang berkualiti akan setiasa disanjung oleh atlet (Martens,
1987; Bompa, 1993).
Chelladurai dan Salleh (1980) telah menyatakan bahawa model ini digunakan bertujuan
melihat pengaruh pemimpin terhadap sukan secara lebih spesifik dan mengkaji pengaruh
gaya tingkah laku pemimpin terhadap pembolehubah-pembolehubah seperti prestasi
atlet, kepuasan individu dan kesepaduan pasukan (Cox, 2011). Menurut MML kepuasan
dan prestasi atlet adalah hasil interaksi tiga komponen kepimpinan iaitu tingkah laku
kepemimpin yang diperlukan, tingkah laku kepimpinan yang sebenar dan tingkah laku
kepimpinan yang digemari (Rajah 1).
125
Rajah 1: The Multidimensional Model of Leadership (MML)
Berdasarkan Rajah 1, MML menjelaskan bagaimana tiga gaya kepimpinan iaitu tingkah
laku yang perlu ada, tingkah laku kegemaran dan tingkah laku sebenar pemimpin dapat
berinteraksi secara kongruen untuk memperolehi kepuasan dan prestasi atlet.
Metodologi
Kajian ini menggunakan reka bentuk deskriptif dan data diperoleh dengan menggunakan
borang soal selidik. Reka bentuk ini dipilih kerana ia bersesuaian dengan tujuan kajian
ini iaitu untuk menentukan apakah gaya kepimpinan jurulatih bola sepak yang digemari
oleh atlet-atlet dari kesemua sembilan buah sekolah menengah kebangsaan di daerah
Alor Gajah, Melaka. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk menentukan sama ada
terdapat perbezaan yang signifikan dari segi persepsi pemain bola sepak terhadap gaya
tingkah laku yang digemari dengan gaya tingkah laku sebenar jurulatih mereka.
Populasi kajian
Kajian ini melibatkan semua pemain, iaitu seramai 190 pemain bola sepak pasukan
sekolah yang berumur di bawah 18 tahun yang telah menyertai Pertandingan Bola Sepak
antara Zon Peringkat Daerah Alor Gajah 2014. Subjek kajian yang dipilih terdiri
daripada pemain-pemain bola sepak yang pernah mewakili pasukan sekolah ke
peringkat daerah bawah umur 18 tahun dari kesemua sembilan buah sekolah yang telah
menyertai Pertandingan Bola Sepak Antara Zon Peringkat MSSD Alor Gajah pada tahun
2014. Kajian ini melibatkan 190 orang atlet. Setiap sekolah mengandungi 21 orang
pemain bola sepak.. Hanya di SMJK Pulau Sebang, seorang atlet simpanan yang juga
bermain untuk pasukan sekolah telah di sertakan dalam jumlah untuk di genapkan
menjadi 190 orang atlet keseluruhannya. Semua pemain yang mewakili pasukan sekolah
dari 9 buah sekolah di Daerah Alor Gajah, Melaka telah dipilih sebagai subjek kajian.
Instrumen Kajian
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini berbentuk soal selidik Leadership Scale for
Sports (LSS, Chelladurai & Salleh, 1980). Soal selidik ini mengandungi 40 item dan
dibahagikan kepada lima dimensi gaya kepimpinan jurulatih iaitu dimensi latihan dan
arahan (13 soalan); dimensi demokratik (9 soalan); dimensi autokratik (5 soalan);
dimensi sokongan sosial (8 soalan) dan dimensi maklum balas positif (5 soalan) yang
telah dibentuk oleh Chelladurai dan Salleh (1980). Skor untuk setiap item dikira
berdasarkan Skala Likert (nilai 1 hingga 5). Instrumen kajian ini dialih bahasa dari
Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Pengesahan terjemahan ini telah ditandatagani oleh
Dr. Annisah Nor Jettey.
Pemain bola sepak sekolah diminta memberi respon kepada setiap item dengan
membulatkan satu angka daripada skala mata berikut: 1. Tidak pernah, 2. Jarang, 3.
Kadang-kadang, 4. Kerapkali dan %. Selalu.
Persepsi atlet bola sepak terhadap gaya kepimpinan jurulatih yang digemari dan gaya
kepimpinan sebenar jurulatih dinilai dengan menggunakan soal selidik LSS. Soal selidik
ini terdiri daripada lima dimensi gaya kepimpinan jurulatih dan telah dialih
bahasa ke dalam Bahasa Melayu.
Soal selidik ini mengandungi 40 item yang telah dibentuk oleh Chelladurai & Salleh
(1980).
(Kedua-dua soal selidik ini akan diisi oleh pemain bola sepak sahaja.)
Analisis Data
Data yang dikumpul dianalisis menggunakan program Statistical Package for the Social
Science (SPSS) versi 20.0. Data dianalisis untuk menentukan tingkah laku secara
kuantitatif dan dihuraikan secara diskriptif dalam bentuk peratusan, min dan sisihan
piawai untuk menerangkan pembolehubah gaya tingkah laku kepimpinan jurulatih yang
digemari dan tingkah laku sebenar jurulatih. Ujian-T digunakan untuk menentukan sama
ada terdapat perbezaan dari segi gaya tingkah laku kepimpinan jurulatih yang digemari
dengan gaya tingkah laku kepimpinan sebenar jurulatih menurut persepsi atlet.
Keputusan Kajian
Jadual 1: Gaya kepimpinan jurulatih yang paling digemari menurut persepsi atlet
Bagi tingkah laku sebenar jurulatih bola sepak pula menunjukkan bahawa dimensi yang
dominan bagi tingkah laku sebenar jurulatih ialah tingkah laku latihan dan arahan dengan
skor min 4.49 dan sisihan piawai 1.02. Dapatan kajian ini jelas menunjukkan bahawa
dimensi tingkah laku sebenar jurulatih adalah latihan dan arahan. Oleh yang demikian,
jurulatih telah memberi tumpuan yang lebih pada dimensi latihan dan arahan semasa
melaksanakan program latihan. Dengan ini atlet akan memberi tumpuan yang
sepenuhnya semasa latihan serta nerasa seronoh semasa program latihan dilaksanakan
oleh jurulatih. Ini diikuti dengan tingkah laku demokratik, dapatan kajian menunjukkan
bahawa mereka gemar jika jurulatih meminta pendapat atlet di atas soal-soal penting
berkaitan dengan latihan serta menggalakkan atlet membuat cadagan berkaitan dengan
kaedah untuk menjalankan latihan dan ini diikuti maklum balas positif dengan skor min
4.40, sokongan sosial min 4.35. Dimensi autokratik pula mendapat skor min 4.20 adalah
tingkah laku sebenar jurulatih yang paling tidak digemari dimana atlet tidak gemar jika
jurulatih enggan bertolak ansur serta selalu menyisihkan diri dari atlet.
Jadual 3: Perbandingan antara tingkah laku jurulatih yang digemari dan sebenar menurut persepsi
atlet
Nilai-t bagi dimensi tingkahlaku autokratik adalah t(187)=3.18 dan nilai P = 0.002.
Perbincangan
Dapatan kajian menunjukkan gaya kepimpinan yang dominan dan paling digemari oleh
atlet ialah latihan dan arahan, diikuti dengan dimensi tingkah laku demokratik diikuti
oleh kepimpinan sokongan sosial. Dimensi tingkah laku autokratik adalah tingkah laku
jurulatih yang paling tidak digemari oleh atlet. Atlet-atlet sekolah menengah daerah
Alor Gajah, Melaka lebih gemar akan dimensi latihan dan arahan mungkin disebabkan
para atlet sebagai pelajar sekolah lebih gemar mengikuti cara latihan dan arahan serta
tunjuk ajar jurulatih mereka. Faktor sosio budaya masyarakat setempat turut mendorong
atlet untuk memilih dan selesa dengan dimensi tersebut. Kajian ini mendapati bahawa
atlet pada peringkat umur bawah 18 tahun berkeinginan menguasai kemahiran serta
mengembangkan pengetahuan teknik bermain bola sepak menyebabkan mereka
mengikuti cara latihan dan arahan jurulatih mereka. Faktor usia, tahap kematangan dan
pengalaman responden mungkin menyumbang kepada pemilihan ini.
Dapatan kajian ini menyokong kajian yang telah dijalankan oleh Jasmin Ling (2017) di
Sarawak, kajian ini bertujuan untuk mengkaji persepsi atlet terhadap tingkah laku
jurulatih yang digemari oleh atlet serta tingkah laku sebenar jurulatih balapan dan
padang. Responden kajian terdiri daripada 252 orang atlet sekolah menengah (lelaki, n =
126; perempuan, n=126) yang berumur 13 hingga 18 tahun. Berdasarkan persepsi atlet
sukan balapan dan padang Sarawak terhadap tingkah laku kejurulatihan, didapati tingkah
laku yang paling digemari oleh atlet adalah tingkah laku latihan dan arahan (M = 3.89,
SP = 0.75). Dapatan persepsi atlet terhadap tingkah laku sebenar jurulatih adalah tingkah
laku latihan dan arahan (M = 4.13, SP = 0.68) Justeru, kesimpulan keputusan yang sama
juga dilaporkan dalam kajian ini.
Satu kajian telah dijalankan di Malaysia oleh Nelfianty (2009), yang bertujuan untuk
mengenal pasti gaya kepimpinan jurulatih yang digemari atlet di Sekolah Sukan
Malaysia. Subjek kajian adalah atlet-atlet di kedua-dua buah Sekolah Sukan pada tahun
2007 (N = 854; SSBJ = 409; SSBP = 445). Dapatan kajian ini turut menyokong bahawa
atlet-atlet Sekolah Sukan Malaysia menggemari gaya kepimpinan latihan dan arahan,
demokratik, sokongan sosial dan maklum balas positif.
Namun demikian dapatan kajian ini berbeza dengan kajian yang dijalankan oleh Wee dan
Shabesshen (2014) di daerah Segamat, Johor yang mendapati gaya kepimpinan dalam
dimensi maklum balas positif adalah yang paling diminati atlet lelaki, diikuti oleh
dimensi latihan dan arahan. Menurut pengkaji atlet-atlet pada peringkat sekolah
menengah di Segamat, Johor, lebih meminati gaya kepimpinan jurulatih dalam dimensi
maklum balas positif mungkin disebabkan atlet-atlet ini biasa didedahkan dengan janji
seperti hadiah tambahan seperti wang sagu hati sekiranya mereka memenangi sesuatu
pertandingan (Chelladurai, 2007). Begitu juga kajian yang telah dijalankan oleh Solleh,
Mustafa dan Tan (2012) terhadap 30 orang pelajar Sukan Prestasi Tinggi Sekolah yang
berumur diantara 15 - 18 tahun. Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) merupakan
Program pembangunan sukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Dapatan kajian ini
juga menunjukkan bahawa gaya kepimpinan yang paling digemari oleh atlet SPTS
adalah tindak balas positif (M=4.01, SD=0.58).
Suatu kajian yang dijalankan terhadap 183 pemain bola sepak dari tujuh kelab liga
Ethiopia oleh Mukulo, M. B.(2013) juga berbeza. Dimensi tingkah laku yang paling
digemari adalah autokratik. Atlet-atlet yang melibatkan diri dalam kajian ini terdiri
daripada 52 pemain bahagian serangan, 65 pemain tengah dan 65 pemain pertahanan.
Mereka menganggap jurulatih mereka pakar dalam teknik latihan dan pemain gemar
mengikuti arahan jurulatih mereka.
Perbandingan di antara tingkah laku jurulatih yang digemari dengan tingkah laku sebenar
jurulatih menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam dimensi tingkah laku
autokratik. Pada pendapat penyelidik, seseorang jurulatih seharusnya menggunakan gaya
kepimpinan autokratik dengan memberi arahan yang jelas dan jitu untuk memudahkan
atletnya memahami setiap arahan dan mematuhinya. Apabila terdapat ahli melanggar
peraturan dalam pasukan yang telah ditetapkan, maka tindakan tatatertib harus dikenakan
dan dilaksanakan dengan kadar yang segera. Seseorang jurulatih perlu lebih objektif dan
berpendirian tegas dengan tindakan yang hendak diambil. Jika sesuatu kesalahan itu
ringan atau boleh diketepikan dan tidak menjadi satu hambatan untuk pemain
meneruskan latihan. Maka ia boleh di maafkan. tetapi sebaliknya jika kesalahan itu besar
dan boleh menjejaskan reputasi maka tindakan tegas dan sewajarnya patut dikenakan.
Kesimpulan
Hasil dapatan kajian yang dijalankan di sembilan buah sekolah menengah mendapati
bahawa tahap kepimpinan multidimensi jurulatih secara keseluruhan adalah sederhana.
Dapat dirumuskan bahawa dimensi yang paling dominan dan tingkah laku yang paling
digemari oleh atlet adalah latihan dan arahan, tingkah laku demokratik, sokongan sosial,
maklum balas positif diikuti dengan tingkah laku autokratik. Pendekatan latihan dan
arahan adalah sesuai untuk atlet muda kerana mereka kurang pengalaman dan
memerlukan maklum balas serta tunjuk ajar yang sewajarnya daripada jurulatih mereka.
Pada pendapat penyelidik, atlet-atlet muda lebih gemar akan gaya maklum balas positif
daripada jurulatih supaya atlet dapat mengekalkan tumpuan semasa latihan dan mendapat
perhatian daripada pihak jurulatih. Dengan ini, atlet-atlet dapat memberi tumpuan
semasa latihan dan mendengar arahan jurulatih. Ini membolehkan mereka lebih
terdorong dan komited semasa aktiviti latihan dijalankan.
Dari aspek tingkah laku sebenar jurulatih, dapat dirumuskan bahawa dimensi yang
dominan ialah maklum balas positif diikuti oleh tingkah laku demokratik dan sokongan
sosial. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa jurulatih dan atlet mempunyai dimensi
kegemaran yang sama. Keadaan ini membolehkan jurulatih dan atlet menjalin hubungan
yang baik serta dapat memberi tumpuan yang sempurna semasa latihan mereka. Dengan
wujudnya keserasian antara kehendak atlet (gaya kepimpinan jurulatih) dengan kehendak
jurulatih, maka atlet akan lebih bermotivasi untuk mengikuti latihan .
Rujukan
Aminuddin Mohd Yusof (1990). Siri analisis psikologi: Kepimpinan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Aznan Abas. (2003). Stail kepimpinan jurulatih bola sepak bawah 18 tahun sekolah-
sekolah menengah Daerah Besut Terengganu. Unpublished Bachelor Thesis,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nelfianty, M.R. (2009). Motif penglibatan, orientasi matlamat dan gaya kepimpinan
jurulatih dari perspektif atlet Sekolah Sukan Malaysia. Ph. D. Thesis Dissertations
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Rosilawati Abdul Rahman, (2007). Stail kepimpinan jurulatih bola tampar peringkat
mssd wakaf baharu, kelantan. Unpublished Master Dissertation, Universiti
Pendidikan Sultan Idris
Sarinah Kasbi. (2014). Perkaltan antara orientasl matlamat dan stall keplmpinan jurulatlh
dengan prestasl pencapaian pasukan bola jaring. Published Master
Dissertation,Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Shabeshan, R., Wee, A. S. S. L., & Ravin, S. (2015). Tahap dan perbezaan amalan
kepimpinan jurulatih yang popular dalam kalangan atlet berpasukan sebuah institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS). Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 2(1),1-9.
Wee, A. S. S. L & Shabeshan, R. (2014). Gaya kepimpinan jurulatih yang diminati atlet-
atlet sekolah menengah di Malaysia berasaskan jantina. Journal Kepimpinan
Pendidikan (Vol. 1 No. 1 Apr 2014).
Wildman, J. C. (2006). The athlete leader role: interaction of gender, sport type, and
coaching style. University of North Texas.