Alam Sufi
Alam Sufi
Alam keseluruhannya dinamakan alam kejadian atau alam makhluk atau segala
sesuatu yang Allah ciptakan daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah ke
sebesar-besarnya. Makhluk kejadian Allah boleh dibahagikan kepada tiga
peringkat alam.
1: Alam Syahadah
2: Alam Misal
3: Alam Arwah.
Alam Syahadah adalah benda dalam erti kata yang luas. Jangan menyangka
sesuatu yang jauh dan tidak dapat dipandang dengan mata kasar itu sebagai
bukan benda. Jika bintang merupakan benda yang paling jauh kelihatan pada
pandangan kita, yang lebih jauh daripada bintang dan tidak dapat dipandang
juga termasuk dalam kumpulan kebendaan. Benda atau jisim boleh dibahagikan
kepada tiga kategori:
1: Jisim yang boleh dilihat dan dipegang
2: Jisim tipis yang ditembusi pandangan (transparent)
3: Jisim halus yang ghaib.
Ketiga-tiga jenis jisim tersebut boleh didapati di dalam Alam Syahadah. Alam
Syahadah pula boleh dibahagikan kepada empat peringkat alam.
1: Alam Langit Dunia
2: Alam Bumi
3: Alam Langit-langit
4: Alam al-Kursi Yang Agung.
Satu bahagian kecil daripada alam ini ialah planet bumi di mana tinggal di
atasnya makhluk yang berbangsa manusia. Planet bumi bersama-sama bulan
dan planet-planet yang lain berada di dalam satu tingkatan alam yang
dinamakan Sistem Matahari. Pada mulanya ahli astronomi menyangkakan
matahari menjadi pusat kepada alam. Penemuan kemudiannya menunjukkan
matahari hanyalah sebiji bintang di antara jutaan bintang-bintang. Apabila ilmu
astronomi semakin maju manusia menemui maklumat bahawa kumpulan
bintang-bintang yang sangat banyak membentuk satu galaxy. Ahli astronomi
membuat anggaran terdapat kira-kira satu ratus ribu juta bintang dalam galaxy
yang ada planet bumi. Bintang-bintang berpusing mengelilingi satu pusat yang
dipanggil Pusat Sistem Galaxy. Ahli astronomi membuat kiraan dan mendapati
matahari kita mengambil masa 225 juta tahun untuk mengelilingi Pusat Sistem
Galaxy satu pusingan.
Di samping galaxy yang terkandung planet bumi terdapat pula galaxy-galaxy lain.
Bintang-bintang bagi setiap galaxy mengelilingi Pusat Sistem Galaxy masing-
masing. Ada ahli astronomi membuat kiraan dan menganggarkan terdapat kira-
kira 10 ribu juta galaxy semuanya.
Tiap galaxy bergerak dengan kelajuan yang berbeza. Galaxy yang dekat dengan
kita lambat pergerakannya sementara yang lebih jauh lebih pantas
pergerakannya. Pada jarak tertentu galaxy tidak kelihatan lagi kerana ia sudah
lebih laju daripada cahaya lalu membawa cahayanya bersama-sama dan tidak
mungkin lagi cahaya tersebut sampai ke bumi. Hasil kiraan ahli astronomi
mendapati jarak di mana galaxy membawa cahaya bersama-samanya ialah tidak
kurang daripada 13 ribu juta tahun cahaya. Inilah perbatasan ahli astronomi yang
dapat dicapai melalui bantuan teleskop yang paling canggih. Kesemua galaxy
tersebut berada di dalam satu alam yang bulat dan mengembang seumpama
belon yang ditiupkan angin ke dalamnya.
Ahli agama yang mendapat sains “Dengan izin Allah” dinamakan ahli al-hak,
ertinya pakar yang sebenarnya. Ada juga kalangan masyarakat menamakan
mereka sebagai manusia kebenaran atau orang kebenaran. Malangnya pula
manusia kebenaran ini dianggap sebagai orang yang ‘betul bendul’. Tertutuplah
rahsianya sebagai ahli sains yang hakiki dan tidak adalah orang yang
bertanyakan perkara sains kepadanya.
Penghulu kepada sekalian ahli al-hak, Nabi Muhamamd .s.a.w, telah menjelajah
ke seluruh alam maya sehingga ke puncak yang paling tinggi, yang tidak ada lagi
alam kejadian selepas itu. Baginda s.a.w menceritakan apa yang baginda
saksikan. Cerita yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w menjadi pedoman bagi
ahli al-hak yang lain untuk mencungkil rahsia alam maya, seterusnya membina
teori alam maya berdasarkan keterangan Rasulullah s.a.w dan penyaksian
mereka sendiri. Bertaburanlah maklumat tentang alam maya yang telah
dikeluarkan oleh manusia-manusia kebenaran yang tidak pernah mempelajari
sains dan tidak tahu istilah-istilah sains. Mereka menggunakan istilah mereka
sendiri. Timbullah teori bumi berada di atas tanduk lembu. Lembu pula berada di
atas belakang ikan nun. Lembu memakan rumput yang tumbuh di atas belakang
ikan. Apabila lembu bergerak berlakulah kegoncangan di atas bumi. Mendengar
teori yang demikian orang terus menutup telinga, tidak masuk akal, Israiliyat dan
karut. Padahal teori itu dikeluarkan oleh seorang yang diperakui ilmunya oleh
Rasulullah s.a.w kerana baginda sendiri mendoakan agar mengurniakannya ilmu
dan kefahaman. Beliau adalah Ibnu Abbas r.a.
Apabila ahli nujum membuat teori mengenai bintang 12, di antara 12 bintang
tersebut ada dua bintang yang dinamakan lembu dan ikan. Ada pengaruh
mempengaruhi di antara bintang lembu dengan bintang ikan dan juga bintang-
bintang lain kepada penduduk di atas muka bumi. Teori ahli nujum tersebut
diterima dengan penuh yakin sehingga boleh dikatakan semua orang tahu
bintangnya masing-masing. Mereka boleh percaya kepada bintang lembu dan
ikan yang dikatakan oleh ahli nujum tetapi menolak perkataan ahli kasyaf yang
dapat menyaksikan apa yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Kita kembali kepada Alam Langit Dunia. Kita mulai dari satu planet yang
bernama bumi di mana kita tinggal di atasnya. Planet yang kita tinggal ini
dinamakan bumi kerana kita mendiaminya. Jika kita mendiami bulan maka
bulanlah bumi kita. Jika kita mendiami matahari maka mataharilah bumi kita.
Jadi, maksud bumi adalah relatif. Yang menjadi identiti bumi ialah ia berada di
dalam satu kerangka. Bagi planet bumi kita banjaran gunung-gunung menjadi
kerangka. Gunung di atas bulan menjadi kerangka bulan.
Apabila planet bumi yang kecil ini berada di dalam satu kumpulan yang
mengandungi berjuta-juta bintang ia dinamakan galaxy. Terdapat banyak galaxy
sehingga sampai kepada satu peringkat semua galaxy tersebut berada di dalam
satu kerangka. Seperti di planet bumi kerangka galaxy juga dinamakan gunung.
Ia diistilahkan sebagai Gunung Qaf. Gunung Qaf merupakan satu alam yang
luas yang terdapat di dalamnya banyak galaxy. Di samping Gunung Qaf yang
planet bumi ada di dalamnya terdapat enam Gunung Qaf yang lain. Jumlah
Gunung Qaf semuanya adalah tujuh. Tujuh Gunung Qaf itu berada atau
terapung-apung di dalam ruang angkasa yang luas yang dikelilingi oleh satu
bulatan yang dinamakan Langit Dunia atau Langit Rendah atau Langit Pertama.
Apabila planet bumi sudah menjadi terlalu kecil dibandingkan dengan kewujudan
yang lain, konsep bumi itu pun berubah. Pada peringkat ini satu alam di dalam
satu Gunung Qaf dinamakan satu bumi. Tujuh Gunung Qaf menjadi tujuh bumi.
Terdapat tujuh bumi yang dilengkungi oleh Langit Dunia. Seluruh alam di dalam
Langit Dunia ini dinamakan Alam al-Mulk. Jika istilah Alam al-Mulk dirasakan
tidak sesuai maka boleh juga digunakan istilah Universe. Begitulah keadaan
Universe yang digambarkan oleh ahli al-hak berdasarkan penyaksian mata hati
mereka.
ALAM BUMI
Langit Dunia, iaitu langit pertama merupakan permulaan Alam Malakut Bawah
yang dinamakan juga Alam Barzakh, tempat roh yang meninggalkan jasad
berhenti sementara menunggu ditiup sangkakala. Langit Dunia dengan segala
isinya menjadi satu alam kecil terapung di dalam ruang angkasa alam Langit
Kedua. Begitulah keadaannya sehinggalah sampai ke alam Langit Ketujuh.
Selepas Langit Ketujuh terdapat satu tingkat Alam Ghaib, bukan lagi Alam
Syahadah. Alam Ghaib ini terdiri daripada benda juga Cuma ia ghaib daripada
pancaindera. Bahagian pertama daripada Alam Ghaib ini dinamakan Sidratul
Muntaha. Sidrat bermakna pokok bidara dan muntaha bermakna yang
penghabisan. Sidratul Muntaha bermakna pokok bidara yang penghabisan. Ia
merupakan satu tingkat alam yang menjadi perbatasan, tempat berhenti
perjalanan dan ilmu makhluk yang dari alam atas dengan alam bawah. Apa
sahaja yang datang dari bawah terhenti di Sidratul Muntaha dan apa sahaja yang
turun dari atas juga terhenti di Sidratul Muntaha. Hanya yang mendapat keizinan
dapat menyeberangi perbatasan ini.
Pada planet bumi kita ada pulau-pulau seperti tempayan dan semenanjung
seperti telinga gajah. Alam Sidratul Muntaha juga mempunyai ciri-ciri yang
demikian.
Al-Mastawa dengan segala isi kandungannya berada dalam satu bulatan alam
yang juga Alam Syahadah, yang dinamakan Bumi Rendah atau Bumi Pertama.
Alam Bumi Pertama ini dikelilingi oleh tiga lapisan alam. Lapisan pertama
dinamakan Alam Laut. Lapisan Kedua dinamakan Alam Angin. Lapisan ketiga
dinamakan Alam Kegelapan. Semuanya berada di dalam ruang angkasa Bumi
Kedua. Bumi Kedua berada di dalam ruang angkasa Bumi Ketiga dan Begitulah
seterusnya hingga ke Bumi Ketujuh.
Semua peringkat alam sehingga alam Bumi Ketujuh berada di dalam ruang
angkasa bulatan alam yang dinamakan Alam Gunung Kemurkaan. Alam Gunung
Kemurkaan berada di dalam bulatan alam yang dinamakan Alam Lautan
Kegelapan. Di dalam Alam Lautan Kegelapan di bawah Alam Gunung
Kemurkaan terdapat an-Nar atau neraka. Ada tujuh tingkat neraka: Jahannam,
Sa’ir, Luzi, Huthamah, Jahim, Saqar dan Hawiyah.
Alam Lautan Kegelapan dikelilingi oleh lapisan alam yang dinamakan Alam
Kegelapan. Di dalamnya terdapat Sijjin, penjara tempat disimpan roh-roh dan
catatan amalan orang-orang kafir. Mengelilingi Alam Kegelapan ialah Alam
Gunung Pendakian. Alam Gunung Pendakian dengan segala isinya berada di
dalam kerangka yang dinamakan juga Gunung Qaf. Semua peringkat alam yang
diperkatakan hingga kini termasuklah Gunung Qaf terakhir ini diistilahkan
sebagai Alam Bumi. Ia masih di dalam peringkat Alam Malakut Bawah atau Alam
Barzakh.
ALAM LANGIT-LANGIT
Alam Bumi bergerak pada satu lakaran mengelilingi satu pusat yang dinamakan
Kalbu Langit-langit. Selepas lakaran pusingan Alam Bumi ada pula tujuh lakaran
lain, menjadikan lapan lakaran semuanya. Pada lakaran pertama hanya Alam
Bumi berpusing mengelilingi Kalbu Langit-langit. Pada lakaran kedua terdapat
70,000 bulatan alam-alam mengelilingi Kalbu Langit-langit. Begitu juga pada
lakaran ketiga sehingga lakaran ke lapan. Bulatan alam pada tujuh lakaran
selepas lakaran Alam Bumi tersebut dinamakan Alam Langit-langit tujuh lapis.
Alam Langit-langit ini sangat indah dan menjadi syurga Barzakh yang sekarang
didiami oleh para malaikat. Ini adalah kumpulan syurga yang kedua, jua
mempunyai tujuh tingkat dan memakai nama yang sama seperti syurga
kumpulan pertama.
Selepas lakaran pusingan Alam Langit-langit ada satu lagi lakaran yang ke
sembilan. Pada lakaran yang ke sembilan ini terdapat dua belas buah bulatan
alam yang juga mengelilingi Kalbu Langit-langit. Alam yang dua belas ini
dinamakan Buruj Alam Atas. Dan diberi nama mengikut lambang malaikat yang
memerintah pada setiap alam tersebut: biri-biri, lembu, kembar dua, ketam,
singa, gadis, neraka, busur panah, kambing, timba dan ikan. Begitulah nama 12
Buruj Alam Atas.
Planet bumi tempat kita tinggal ini apabila ia berpusing satu pusingan pada
paksinya terjadilah satu hari. Apabila ia berpusing satu pusingan mengelilingi
matahari terjadilah satu tahun matahari. Alam Bumi yang besar di dalam Alam
Barzakh itu apabila berpusing satu pusingan di atas paksinya satu hari Alam
Bumi yang dinamakan Hari Allah, bersamaan dengan satu ribu tahun matahari.
“Dan satu hari di sisi Tuhan kamu adalah seribu tahun mengikut hitungan kamu”.
(Surah al-Hajj, ayat 47).
Ukuran kelajuan pada peringkat ini bukan lagi kelajuan cahaya tetapi kelajuan
malaikat, nur yang jauh lebih seni daripada sebarang cahaya yang diketahui.
“”Malaikat dan roh naik kepada-Nya pada satu hari yang kadar ukurannya lima
puluh ribu tahun”. (Surah al-Ma’arij, ayat 4).
Satu hari perjalanan malaikat bersamaan lima puluh ribu tahun matahari.
2: ALAM MISAL
Alam Syahadah yang berbataskan al-Kursi Yang Agung dengan segala isinya
berada di dalam ruang angkasa Alam Ghaib yang dinamakan al-Arasy al-Majid
(al-Arasy Yang Megah), yang sudah termasuk dalam peringkat Alam Misal.
Rasulullah s.a.w memberi gambaran tentang keluasan al-Arasy al-Majid, “Hai
Abu Zar. Langit yang tujuh dan bumi yang tujuh di sisi al-Kursi hanya seumpama
sebentuk cincin di atas padang pasir luas, dan al-Kursi di sisi al-Arasy hanya
seumpama sebentuk cincin di atas padang pasir yang luas pula. Lebihnya al-
Arasy daripada al-Kursi seperti lebihnya padang pasir yang luas daripada
sebentuk cincin tersebut”.
Al-Arasy al-Majid mengelilingi satu pusat, pada satu lakaran. Pusat yang
dikelilingi oleh al-Arasy al-Majid ini dinamakan Kalbu Alam. Lakaran pusingan al-
Arasy al-Majid merupakan salah satu daripada seribu lakaran. Pada setiap
lakaran itu terdapat satu buah alam yang besarnya lebih kurang sebesar al-
Arasy al-Majid. Jadi, terdapat seribu alam-alam mengelilingi Kalbu Alam. Alam-
alam tersebut dinamakan alam Arasy-arasy. Kalbu Alam menjadi pusat dan
menguasai Arasy-arasy tersebut.
Al-Arasy al-Majid sama dengan Arasy-arasy yang lain terletak di dalam ruang
angkasa alam yang dinamakan Alam Hijab. Alam Hijab yang mengandungi
Arasy-arasy ini berada di dalam peringkat Alam Hijab yang lain pula, berlapis-
lapis sehingga 70,000 lapis bagi satu peringkat Alam Hijab yang dinamakan
Hijab Nur Putih. Kemudian ia diikuti oleh peringkat Alam Hijab yang lain,
hinggalah kepada beberapa peringkat. Setiap peringkat mengandungi 70,000
lapisan Hijab. Peringkat terakhir dinamakan Hijab Ketunggalan, yang juga terdiri
daripada 70,000 lapisan. Peringkat Hijab Ketunggalan berakhir dengan lapisan
Hijab yang dinamakan Hijab Hamparan Emas.
Di atas permukaan Hijab Hamparan Emas terdapat umbi bagi Sidratul Muntaha
ke empat.
Seluruh alam yang dinyatakan sehingga ini berada di dalam ruang alam yang
dinamakan al-Arasy al-Karim (al-Arasy yang mulia). Ia menjadi batasan terakhir
Alam Misal.
Manusia yang berada dalam Alam Syahadah di planet bumi, lebih-lebih lagi yang
terkongkong dengan alam jasad, hanya memandang kepada yang zahir atau
nyata sahaja. Akal fikirannya sukar menggambarkan betapa seninya jisim pada
Alam Misal. Tetapi bagi seorang insan yang tinggi makamnya di sisi Allah dapat
masuk ke dalam Alam Misal dan melihat keadaan di dalam alam tersebut, dan
mendapati Alam Misal adalah satu alam yang boleh disaksikan dan dirasa,
seperti Alam Syahadah juga. Apa yang ghaib itu apabila dibukakan ia menjadi
nyata dan boleh berinteraksi dengannya. Jika ada kerusi di dalam alam ghaib itu
maka kerusi tersebut boleh diduduki. Jika ada buah-buahan di sana maka buah-
buahan tersebut boleh dimakan. Begitu juga air yang ada di sana.
Jisim tipis dalam Alam Misal dipanggil an-Nuur. Jisim bersifat nuur adalah jisim
yang sangat murni. Ia juga merupakan benda-benda seperti benda-benda yang
ada dalam Alam Syahadah. Ada yang bercahaya menyilaukan pandangan, ada
yang cair seperti air dan ada yang padat seperti tanah dan logam. Tetapi ia lebih
murni, lebih indah dan lebih ajaib daripada apa yang ada dalam Alam Syahadah.
3: ALAM ARWAH
Peringkat terakhir Alam Misal ialah al-Arasy al-Karim, selepasnya bermula pula
Alam Arwah (Alam Roh). Pada Alam Arwah terdapat juga alam-alam Hijab.
Seluruh al-Arasy al-Karim bersama-sama segala isi kandungannya berada di
dalam bulatan sejenis Alam Hijab yang lebih ghaib dan lebih seni. Ada beberapa
peringkat Alam Hijab dalam Alam Arwah. Setiap peringkat ada 7,000 lapis Hijab.
Lapisan pertama daripada Alam Hijab itu dinamakan Hijab Permata.
Di atas Jannatul ‘And adalah al-Arasy al-‘Adzim, arasy yang besar. Ia dinamakan
juga al-Arasy al-Muhith, arasy yang meliputi, maksudnya meliputi seluruh alam
makhluk. Al-Arasy al-‘Adzim merupakan bulatan terakhir atau kerangka yang
paling luar bagi seluruh alam kejadian, alam makhluk atau apa sahaja yang Allah
ciptakan. Al-Arasy al-‘Adzim mengandungi 70 juta lapisan kulit-kulit yang di
antara satu kulit dengan kulit yang lain terdapat ruang angkasa. Al-Arasy
al-‘Adzim dijadikan daripada nuur, jisim yang bersifat nurani, lagi seni dan tinggi.
Hadis menceritakan tentang nuur al-Arasy al-’Adzim, “Diliputi pada tiap-tiap hari
oleh seribu warna dari nuur”.
“(Diliputi) 70,000 warna dari nuur, tiada dapat dipandang kepadanya oleh
seorang pun dari makhluk”.
“Nuur al-Arasy al-‘Adzim kalau dizahirkan kepada penduduk dunia ini dan (dalam
keadaan) ia telah merendahkan diri (kepada Allah) nescaya lemah cahaya
matahari bersamanya sebagaimana lemah cahaya pelita bersamanya (cahaya
matahari) dan lebih kurang lagi”.
Meskipun nuur al-Arasy al-‘Adzim itu sangat kuat namun, orang yang mencapai
makam yang tinggi pada sisi Allah dapat mendekatinya tanpa terjadi apa-apa
dan mendapatinya suatu jisim alam yang sangat indah, tiada bandingannya.
Di bawah al-Arasy al-‘Adzim ada pula Loh Mahfuz yang kedua. Catatan yang
tertulis di sini diambil oleh malaikat dan diturunkan kepada Kalbu Alam yang
kemudian memancarkannya kepada Alam-alam Arasy, termasuklah al-Arasy al-
Majid. Dari al-Arasy al-Majid ia diturunkan pula kepada Kalbu Langit-langit yang
kemudiannya dipancarkan kepada Alam Langit-langit termasuklah Alam bumi di
dalam Alam Barzakh. Begitulah salah satu cara perintah Tuhan turun
seperingkat demi peringkat hingga sampai kepada masing-masing yang telah
ditentukan.
Di bahagian atas al-Arasy al-‘Adzim yang paling luar dan paling tinggi terdapat
satu alam yang besar dan indah dinamakan Qubah. Ia merupakan tempat yang
paling tinggi dalam seluruh alam makhluk. Qubah ini merupakan syurga yang
lebih indah daripada syurga-syurga yang lain. Ia juga terdiri daripada tujuh
peringkat syurga seperti syurga-syurga yang lain.
Di dalam alam Qubah yang besar ini, pada bahagian yang paling atas, terdapat
satu Qubah yang lebih kecil yang terdiri dari Permata Putih, berupa seperti
sebuah mahligai yang besar terapung di ruang angkasa Qubah besar. Qubah
Permata Putih ini merupakan tempat terakhir perjalanan mikraj Rasulullah s.a.w.
Qubah besar menjadi pusat pentadbiran alam di bawahnya sebagaimana Baitul
Makmur menjadi pusat pentadbiran alam yang lebih bawah. Qubah yang kecil
pula menjadi inti atau istana bagi Qubah besar.
Apabila dilihat kepada keseluruhan alam makhluk maka bahagian yang ada
Qubah itu diisyaratkan sebagai bahagian atas. Jika dibandingkan dengan sebiji
buah maka Qubah itu adalah umpama tampuk yang menentukannya sebagai
bahagian atas dan lawannya sebagai bahagian bawah.
Hingga kepada al-Arasy al-‘Adzim yang terdiri daripada 70 juta lapisan dengan
Qubah di bahagian atasnya, maka tamatlah perbicaraan mengenai Alam Malakut
Atas dan berakhir juga ilmu manusia tentang alam. Al-Arasy al-‘Adzim itulah
kerangka alam. Ia adalah sebesar-besar makhluk. Seluruh alam atau kejadian
yang Tuhan jadikan berada di dalamnya. Sekaliannya dinamakan Alam sahaja,
atau dinamakan juga Alam Kejadian atau Alam Makhluk atau A’yan Luar atau al-
Mumkinat (segala yang mungkin) atau Alam Yang Baharu atau Yang Selain
Allah. Semuanya menggambarkan apa yang termasuk di dalam kalimah “KUN”
(jadilah kamu).
Jisim dalam Alam Arwah bersifat latif atau halus atau murni atau terlebih ghaib.
Insan yang tinggi makamnya pada sisi Allah memasuki alam yang terlebih ghaib
ini dan mendapati alam ini sama seperti Alam Syahadah juga, berjisim dan
berbentuk benda dalam bebagai-bagai keadaan yang boleh disaksikan dan
dirasa. Jadi, seluruh alam, iaitu Alam Syahadah, Alam Misal dan Alam Arwah
merupakan alam benda yang jika diizinkan boleh disaksikan samada dengan
pancaindera ataupun dengan hati. Hati insan bersifat nurani, sama seperti sifat
Alam Malakut. Kekuatan pancaran nuurnya boleh menembusi tujuh petala langit
dan tujuh petala bumi untuk menyaksikan dan memperolehi makrifat tentang
Alam Makhluk atau Alam Kejadian.
“Orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam lalu ia
beroleh nuur dari Tuhannya”. (Surah az-Zumar, ayat 22).
“Allah jualah nuur bagi semua langit dan bumi”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Perumpamaan nuur-Nya seperti sebuah lubang di dinding di dalamnya
mengandungi pelita. Pelita itu berada di dalam kaca. Kaca itu bagaikan bintang
berkilau-kilauan. Dinyalakan dari pohon kayu yang berkat iaitu minyak zaitun
yang bukan dari timur dan bukan dari barat. Hampir minyaknya mengeluarkan
cahaya dengan sendirinya biarpun tidak disentuh api”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Nuur di atas nuur”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Dipimpin Allah kepada nuur-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya”. (Surah an-
Nuur, ayat 35).
PENUTUP
Bagaimana ahli al-kasyaf menyaksikan alam yang begitu luas dan jauh? Adakah
dia perlu menaiki sejenis kenderaan dan terbang ke seluruh alam maya untuk
menyaksikannya? Nabi Muhamamd s.a.w telah menaiki boraq dan mengembara
ke seluruh alam di bawah bumbung Langit Dunia (Langit Pertama). Kemudian
baginda s.a.w mikraj menggunakan tangga yang dihulurkan dari alam atas
seumpama lif yang dibawa turun dari tingkat atas. Tetapi boraq hanya untuk
kegunaan nabi-nabi tidak bagi manusia biasa, walaupun seorang yang kasyaf.
Namun, Allah s.w.t mempunyai caranya sendiri untuk memperlihatkan alam
ciptaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Cuba kamu pandang kepada sebuah bangunan. Kamu dapat melihat bangunan
tersebut kerana ada cahaya dari sumber cahaya iaitu matahari. Cahaya matahari
menerpa ke arah bangunan itu lalu membawa seluruh bangunan tersebut
kepada mata kamu. Mata kamu juga bercahaya sebagai persediaan untuk
menerima pancaran cahaya matahari yang datang. Jika mata kamu terpejam
atau berselaput tidak mungkin cahaya matahari boleh memasukinya. Pertemuan
cahaya matahari dari atas dengan cahaya mata di bawah melahirkan gambar
pada belakang bola mata kamu. Gambar yang tertera pada skrin bola mata
kamu itu dalam keadaan terbalik. Otak berperanan membetulkannya kembali.
Otak boleh berfungsi sebagai kesan aktiviti akal. Akallah yang melihat bangunan
tersebut. Seluruh bangunan yang begitu besar boleh masuk ke dalam akal kamu.
Andainya kamu berada di tempat yang tinggi dan pandangan kamu cukup kuat
maka kamu boleh melihat seluruh planet bumi berada di dalam akal kamu. Akal
kamu menjadi seperti satu ruang angkasa yang luas yang memuatkan planet
bumi. Jika kamu berada pada tempat yang lebih tinggi dan pandangan kamu
lebih kuat kamu akan dapat menyaksikan seluruh Alam Syahadah. Begitulah
keadaannya hingga kamu dapat melihat seluruh Alam Misal dan Alam Arwah.
Jadilah diri kamu seolah-olah satu ruang angkasa yang di dalamnya terapung-
apung seluruh alam makhluk.
Jika kamu memandang kepada sebuah bangunan maka bangunan itu yang
datang kepada kamu bukan kamu yang pergi kepadanya. Kamu tidak bergerak
satu langkah pun. Begitu juga keadaan ahli al-kasyaf yang tidak bergerak dari
tikar sembahyangnya namun dia dapat menyaksikan seluruh alam makhluk.
Keadaan ini boleh terjadi kerana Allah jualah nuur bagi langit dan bumi. Nuur-
Nya juga memancar di dalam kalbu orang mukmin. Nuur di atas nuur. Nuur dari
alam atas membawa turun seluruh alam kejadian dan dapat ditangkap oleh nuur
di bawah iaitu kalbu orang mukmin. Jadi, kalbu orang mukmin itu meliputi seluruh
alam makhluk tanpa dia perlu terbang ke mana-mana.
“Dipimpin Allah kepada nuur-Nya siapa yang Dia kehendaki”.
“Katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku”.
Urusan Tuhan, inilah makam terakhir seorang hamba. Tidak ada apa-apa lagi
padanya melainkan urusan Tuhan. Apabila dia sudah larut di dalam urusan
Tuhan maka urusan Tuhanlah yang memperjalankannya ke seluruh alam maya
hingga terdampar ke Sidratul Muntaha. Seterusnya memanjat ke Qubah yang
menjadi puncak segala alam kejadian. Tidak ada apa-apa lagi kecuali:
“ALLAH, RABBIL ‘IZZATI!’
Allah jualah yang memiliki Hijab Yang Teguh.
Selesai perbicaraan mengenai Alam Makhluk. Semoga saudara-saudara tidak
memandang alam dalam sekop yang sempit sehingga berasa curiga bagaimana
orang kafir boleh pergi ke bulan yang kononnya sudah termasuk bahagian alam
langit. Semoga perbicaraan ini lebih membuat saudara mengagumi kebesaran
dan kebijaksanaan Allah menciptakan alam makhluk ini.
Saudara anda di dalam Islam
Mohammad Nasir Majid
Seberang Takir
Terengganu Darul Iman